Fitrah Kehidupan Manusia Untuk Diuji…
Susah dan senang keduanya adalah ujian. Ada orang diuji dengan kemewahan dan kesenangan. Ramai yang lain pula diuji dengan pelbagai penderitaan; kematian, kesakitan dan segala macam kesusahan.
Kita hanyalah hamba. Fitrah kejadian kita adalah untuk diuji, siapakah yang paling baik amalnya, sebagaimana firman Allah:
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
“(Allah-lah) yang menciptakan kematian dan kehidupan supaya Dia menguji kalian, siapa di antara kalian yang lebih baik amalannya. Dia adalah Al ‘Aziz (Maha Perkasa) Al Ghafur (Maha Pengampun).” [QS Al Mulk: 2]
——
Saat diri diuji dengan sedikit kesusahan, pandanglah dan temuilah orang-orang lain yang terlebih dulu menerima ujian yang jauh lebih besar dari kita.
Kita diuji dengan kehilangan ahli keluarga yang tersayang, berapa ramai mereka di luar sana yang sudah lama hidup yatim piatu, langsung tiada tempat pergantungan, tiada tempat untuk berkongsi kasih sayang dan merasai nikmat hidup berkeluarga?
Lebih malang lagi, ada antara mereka yang tiada segala-galanya, tiada punca pendapatan yang tetap dan tiada tempat tinggal yang sempurna.
Maka adakah ujian yang ditimpakan kepada kita saat ini lebih besar daripada apa yang mereka terima?
Allah Maha Adil, apa jua takdir tetap terbaik untuk setiap hambaNya pada setiap masa.
Maka tabah dan redha saat diuji. Peluang dosa diampunkan Allah dan peningkatan tahap keimanan seseorang.