PUSAT JAGAAN ANAK YATIM & MISKIN SRI KUNDANG, RAWANG
Hari ini kami melawat beberapa rumah anak yatim sekitar Rawang untuk program syarikat pada minggu hadapan. Cita-cita kami besar, mahu mengambil salah satu rumah tersebut sebagai anak angkat syarikat untuk program CSR. Tapi bila berdepan dengan harapan mereka, kami jadi kecil. Sekecil anak-anak yang tiba-tiba tak mampu berbuat apa-apa!
Hari ini kami nilaikan, rezeki ilmu dan perhubungan. Kuasa, pangkat dan penyelewengan. Ada yang direzekikan ilmu, kemudian membina pangkat dan kuasa. Namun kemudian, khianat sehingga ‘me-rempatkan’ orang lain. Tak cukup sejuta, entah berapa juta lagi mahu dipenuhkan untuk liang lahadnya.
Hari ini juga kami perhatikan, dengan kepercayaan yang ada dalam perhubungan, banyak jalan yang dimudahkan. Beban yang dikongsikan. Hutang yang ditangguhkan. Cabaran yang ditabahkan. Harapan yang insyaAllah, akan ditunaikan.
Kami juga tak tertelan, kudapan manis jajan jalanan. Dek kisah si piatu yang kehilangan, ibu, ayah, abang, kemudian nenek ~ itu pun yang sudah “angkat” kerana keluarga sebenarnya telah minggat! Terpontang panting sendirian menjelajah dunia di usia belasan. Tak punya nasab keturunan, yang boleh dijadikan sandaran. Kekosongan dan keterasingan! Semoga kamu selamat, dik!
Di bahu penjaga rumah anak yatim ini, terpikul beban berat, cabaran hebat, kesabaran setebal tujuh lapis langit, dan semerbak harum ganjaran Allah. Pada wajah anak-anak itu, ada masa hadapan generasi, ada pejuang hebat, ada srikandi dan ada hero ~ menunggu masa beraksi!
Usah tunggu lagi, mari bantu mereka. Masa ini, masa anda beraksi!
PROFILE: PUSAT JAGAAN ANAK YATIM & MISKIN SRI KUNDANG, RAWANG
PENJAGA: EN. NUR AZMIE BIN JUSOH 012 666 3724
JUMLAH ANAK YATIM: 50 (Lelaki & perempuan, usia 7 – 17 tahun)
KEPERLUAN: Anak-anak menetap sementara di beberapa rumah sewa (sewa tertangguh 6 bulan untuk menyelesaikan pembinaan bangunan asrama). Belum berdaftar dengan JKM kerana menunggu bangunan asrama disiapkan. Bangunan 70% hampir siap, memerlukan lebih kurang 50K lagi (basic, tidak termasuk katil, barangan elektrik dsb), supaya anak-anak dapat berhari raya di rumah yang lebih teratur & boleh didaftarkan dengan JKM untuk mendapatkan bantuan lanjut (critical issue).